Monday, 25 January 2016

Lara Semalam EP68

DUA hari selepas itu, keluarga Alisya dan keluarga Eqal sudah sibuk membuat persiapan pertunangan dan perkahwinan mereka. Perkahwinan antara Alisya dengan Eqal akan dipercepatkan kepada hujung bulan ini atas permintaan Alisya sendiri. Meskipun Alisya sendiri yang mahu perkahwinan mereka dipercepatkan, dia masih lagi bersedih kerana pada hujung bulan ini akan berakhir cintanya dengan Hazrill.
Isya, ibu tanya petang ni jadi tak nak pergi try baju?”
Alisya cepat-cepat mengesat air matanya sebaik sahaja mendengar suara Kak Sara. Kak Sara mengeluh sebaik sahaja melihat mata Alisya kemerah-merahan. Ini mesti menangis lagi… sampai bilalah adiknya itu nak berkelakuan seperti itu?
Isya menangis lagi?”
Alisya menggelengkan kepalanya laju. Nampak sangat ke dia menangis? Susah betullah kulit macam dia ni… menangis sikit sahaja muka dah mula memerah.
Eh, taklah. Kak Sara cakap apa tadi? Isya tak dengar.”
Bukan Isya sendiri ke yang buat keputusan nak berkahwin dengan Eqal hujung bulan ni?”
Alisya merenung wajah kakaknya. Ya, memang dia yang buat keputusan untuk berkahwin dengan Eqal dan dia yang minta perkahwinan itu dipercepatkan tapi sampai sekarang dia rasa bersalah kerana mempergunakan Eqal.
Isya... Isya tak tahu.”
Masih sempat nak batalkan semua ni.”
Alisya menggelengkan kepalanya perlahan. Kalau dia batalkan semua benda ini pun, tak ada gunanya dah buat dia. Hazrill sudah buat keputusan untuk tidak kembali ke pangkuannya semula.
Hazrill tak nak Isya lagi... buat apa Isya nak batalkan semua ni? Lebih baik Isya pilih untuk hidup dengan lelaki yang mencintai Isya daripada hidup dengan lelaki yang Isya cinta tapi tak nak Isya dah.”
Kak Sara menepuk bahu adiknya beberapa kali. Kenapa Alisya cakap Hazrill tak nakkan dia lagi? Baru kelmarin dia datang jumpa Hazrill sebab Naufal. Hazrill menangis teresak-esak bila mengetahui keputusan Alisya untuk berkahwin dengan Eqal pada hujung bulan ini.
Sudahlah, Isya. Oh, ya. ibu tanya jadi tak petang ni pergi try baju?”
Jadi, pukul tiga. Eqal dengan mummy dia tunggu dekat sana nanti.”
Kalau macam tu Isya pergi siap dululah. Ibu dengan Kak Sara nak bawa Isya pergi spa lepas tu kita pergi cari barang untuk hantaran hujung minggu ni.”
Berkerut terus dahi Alisya tatkala mendengar kata-kata kakaknya itu. Nak cari barang untuk hantaran? Bukan hantaran tu waktu nikah sahaja ke? Berapa banyak kali nak berhantaran ni?
Bukan hantaran waktu nikah nanti sahaja ke?”
Ibu kata untuk tunang ni pun kena ada hantaran sikit.”
Amboi, ibu… beria betul nak sambut menantu. Dia ingat nak buat simple-simple sahaja… nampak macam meriah sahaja majlis tu nanti.
Oh, okey. Isya siap dahulu.”
Kak Sara pun nak pergi siap ni. Apa-apa beritahu akak ya?”
Alisya mengangguk sebelum melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Hurm... spa, barangan hantaran, try baju... dia rasa tak berdaya untuk lakukan semua benda itu. Alangkah bagus kalau bakal suaminya itu adalah Hazrill.
Alisya... bilalah kau nak terima hakikat yang Eqal tu bakal suami kau, bukan Hazrill.”
Ketika Alisya menuruni tangga ke tingkat bawah, ibu dengan Kak Sara dah menunggu di ruang tamu. Ibu sibuk melihat senarai barang-barang yang diperlukan sementara Kak Sara sibuk berbual dengan suaminya. Bila diperhatikan betul-betul, Kak Sara dengan Aidil memang nampak sepadan digandingkan bersama. Hidup mereka bertambah bahagia bila minggu lepas Kak Sara disahkan mengandung.
Nak gerak sekarang ke?”
Hurm, boleh juga.”
Aidil, kamu tak nak ikut sekali?”
Aidil memandang wajah isterinya sebelum memandang wajah mertuanya. Patut ke dia ikut mereka? Kalau ikut mereka takut lama pula tapi bosan pula kalau tinggal rumah ni seorang diri.
Tak apa ke saya ikut?”
Mestilah tak apa. Kamukan keluarga kami juga.”

SELEPAS menghabiskan masa tiga jam di spa, mereka berempat terus menuju ke kedai menjual bekas barang hantaran. Alisya betul-betul tak sangka akan berjumpa dengan Hazrill di situ. Lidah masing-masing terus menjadi kelu.
Hazrill, aunty tak sangka boleh jumpa kamu dekat sini.”
Saya pun, aunty. Uncle mana?”
Uncle? Macam biasalah, dia dengan golf mana boleh dipisahkan.”
Hazrill mengangguk perlahan sambil tersenyum. Sesekali dia menoleh ke arah Alisya namun gadis itu tetap menunduk memandang lantai. Gadis tu dah tak sudi memandangnya lagi ke?
Oh, aunty sihat?”
Alhamdulillah, sihat. Rill buat apa dekat sini? Bukan hari tu kata Kak Zita kamu nak balik ke sana semula?”
Saya teman sepupu saya beli bekas hantaran. Saya balik Malaysia ni pun sebab dia nak bertunang minggu depan.”
Oh, kalau macam tu kami pergi ke sana dululah ya? Nak cari barang sikit.”
Alisya hanya menunduk ke lantai sambil mengikut langkah ibunya. Tak ada sesaat pun dia sanggup mengangkat mukanya memandang Hazrill. Alisya, kau kena kuat. Jangan menangis untuk lelaki yang tak nakkan kau.
Isya okey tak ni?”
Isya okey, kak.”
Lepas mendapatkan beberapa barang yang diperlukan, mereka terus menuju ke medan selera yang berdekatan untuk mengisi perut yang sudah berdondang sayang. Lepas try baju nanti, mereka perlu ke kedai kek untuk menempah kek untuk hantaran dan kek kahwin nanti.
So, Isya dah fikir nak tema apa nanti?”
Tema?”
Untuk wedding Isyalah. Senang sikit nak buat kerja kalau Isya dah fikir temanya.”
Isya dengan Eqal belum bincang lagi. Lagipun kami ingat nak buat akad nikah sahaja dulu.”
Wajah ibu terus berubah kelat bila mendengar anaknya hanya mahu membuat majlis akad nikah sahaja. Mereka bukannya tak mampu nak buat majlis persandingan sekali.
Tak akan nikah sahaja? Majlis berinai semua tak nak?”
Buat yang simple sahaja dulu, ibu. Lagipun Eqal tengah busy sekarang ni. Kami plan nak buat majlis bersanding lepas Eqal balik dari Jepun nanti.”
Ibu menggelengkan kepalanya tidak bersetuju dengan rancangan Eqal dan Alisya. Tak akan nak buat akad nikah sahaja? Ini majlis anak bongsunya, mestilah dia nak buat meriah dan lebih besar sikit.
Isya rasa buat simple sahaja pun cukup.”
Isya, perkahwinan hanya untuk sekali. Ibu tak setuju dengan rancangan kamu berdua. Majlis akad nikah dibuat secara tertutup lepas tu tak nak buat majlis persandingan semua.”
Bukan tak nak buat, ibu. Cuma kami nak dahulukan mana yang penting. Mungkin lepas Eqal balik dari Jepun baru kami buat perancangan untuk buat majlis persandingan semua tu.”
Nak tunggu Eqal balik dari Jepun? Alisya, dia pergi Jepun lima tahun. Nak sanding apanya waktu tu lagi? Dah bukan pengantin baru namanya.”
Kak Sara dengan Aidil hanya diam sambil menikmati makanan di hadapannya. Mereka sebenarnya sependapat dengan ibu dalam hal ni. Perkahwinan hanya sekali seumur hidup. Tak akan nak buat perkahwinan mereka macam main-main sahaja.
Tak apalah, nanti Isya bincang dengan Eqal.”
Alisya terus minta diri untuk ke ladies sekejap. Dia perlukan masa untuk bersendirian buat seketika. Betul ke apa yang kau buat ni Alisya? Hujung minggu ni kau akan bertunang dengan Eqal dan seterusnya akan berkahwin dengan dia pada hujung bulan ni. Dapat ke kau lupakan Hazrill sebelum majlis pernikahan kau berlangsung?
Isya...”
Mata Alisya terus berkaca-kaca sebaik sahaja melihat siapa yang memanggil namanya. Hazrill? Kenapa mesti terjumpa dia dekat sini walhal KL ni cukup luas. Banyak lagi tempat yang dia boleh pergi tapi kenapa mesti dekat sini juga dia datang?
Hazrill? Apa awak buat dekat sini?”
Tahniah, Alisya. Saya tahu Eqal akan dapat membahagiakan awak.”
Huluran tangan Hazrill dipandang dengan sebak yang bertandang di dada Alisya. Kenapa Hazrill tak halang aku dari buat keputusan yang akan menjerat hidup aku? Kenapa Hazrill tak halang sedangkan dia tahu yang aku tak cintakan Eqal?
Terima kasih...”
Alisya terus menyambut huluran tangan Hazrill sambil memandang tepat ke matanya. Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk lupakan dia. Semoga aku dapat belajar mencintai bakal suamiku selepas Kau tutup pintu hatiku untuk Hazrill.
Maaflah, Rill tak dapat datang wedding Isya nanti. Sepupu Rill bertunang hari yang sama dengan Isya kahwin.”
Tak apa, Isya faham. Cuma kalau Rill ada kesempatan, Rill cubalah datang. Sebab Rillkan... kawan Isya yang terbaik. Isya nak kawan baik Isya ada sekali dengan Isya waktu hari Isya kahwin.”
Hazrill mengangguk sambil tersenyum. Serentak dengan itu, air matanya mula menitis. Ya, Alisya adalah kawan yang terbaik yang aku pernah ada. Selama-lamanya pun Alisya akan menjadi kawan yang terbaik dalam hidup aku.
Ya, kawan terbaik Rill buat selama-lamanya.”
Alisya mengesat air mata Hazrill perlahan. Hatinya bertambah sakit melihat Hazrill menangis. Lagi Hazrill menangis, hatinya makin berat dan sakit untuk melupakan Hazrill dan menerima Eqal.
Isya pergi dulu, Rill.”
Isya...”
Hurm?”
Kalau ada masalah, Isya boleh call Rill. Rill sentiasa… akan sentiasa ada untuk Isya.”
Alisya mengangguk sambil tersenyum. Air mata yang ditahan daripada menitis sejak tadi akhirnya menitis juga membasahi pipinya. Dia tak mampu untuk mengeluarkan walaupun sepatah perkataan kerana terlalu sebak. Selepas mengesat air matanya, Alisya terus beredar tanpa berpaling lagi.
Selamat tinggal, Alisya.”

BERSAMBUNG...

No comments:

Post a comment